Friday, September 8, 2017

PENGASAS BANDAR MAHARANI MUAR

DATUK BENTARA LUAR - MUHAMMAD SALLEH BIN PERANG

Muhammad Salleh bin Perang atau lebih dikenali sebagai Datuk Bentara Luar dilahirkan di Teluk Belanga, Singapura dan mendapat pendidikan di sekolah Melayu, sekolah agama dan sekolah Inggeris. Antara jawatan yang pernah disandang oleh beliau dari tahun 1856-1912 ialah:
- guru
- jurutulis kepada Sultan Abu Bakar (1857)
- Pesuruhjaya Polis Negeri Johor di Jabatan Polis (1868)
- Pejabat Hasil Dalam Negeri
- Ketua Jabatan Tanah dan Ukur
- Mahkamah


Antara sumbangan berharga beliau di dalam pembangunan Johor termasuk Muar adalah seperti berikut:
- Peta lengkap bagi negeri Johor (peta lengkap negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang pertama)
- Menggalakkan permainan ghazal.
- Menggalakkan orang Melayu memainkan Tarian Naga.
- Menggalakkan orang Melayu menggali parit dan tali air supaya tanah sesuai untuk pertanian.
- Menghapuskan lanun-lanun di Muar pada akhir kurun Masihi ke-19.
- Membuka Bandar Maharani Muar (1885) dan Bandar Penggaram Batu Pahat (1893).


Menjelang tahun 1890 Bandar Maharani telah menjadi sebuah pusat aktiviti pentadbiran dan perniagan yang terbesar di kawasan pantai barat negeri Johor. Seorang pelancong Inggeris, Florence Caddy, pernah mencatatkan: 

" Bandar Maharani merupakan bandar yang cantik dengan penduduk-penduduknya seramai 5000 orang terdiri dari orang Melayu yang mendiami kampung-kampung di keliling bandar tersebut, dan orang Cina dan sedikit orang India yang berkedai dalam bandar itu sendiri. Bahawa bandar ini mempunyai beberapa buah bangunan-bangunan serta kilang papan dan sebuah bengkel pembuat batu bata".

Perdagangan utama di pelabuhan Bandar Maharani waktu itu ialah gambir, lada hitam, pinang kering, kelapa kering, kopi, sagu ubi dan buah-buahan. Tetapi gambir dan buah-buahan merupakan perdagangan paling utama. Menurut Laporan Tahunan Kerajaan Johor 1911 daerah Muar merupakan pengeluar hasil gambir yang terbesar sekali di seluruh negeri Johor diantara 1887 dan 1911.

Manakala pada musim buah-buahan (1911) sebanyak kira-kira tiga-suku juta buah durian, 29000 tong buah duku dan 23000 tong buah manggis telah di ekspot melalui pelabuhan Bandar Maharani. Pada masa ini setiap kapal yang keluar dari pelabuhan Muar adalah bermuatan kira-kira 25,000 biji buah durian dan bilangan kapal-kapal yang masuk itupun bertambah menjadi lima ke enam buah sehari.

CATATAN SEJARAH MUAR

Muar atau Bandar Maharani telah dicatatkan oleh beberapa penulis dan menjadi bahan sejarah terpenting masa kini. Antara catatan yang melakarkan coretan sejarah Muar adalah seperti berikut:

Prapanca (1361)(Syair Nagarakertagama):
Syair terkenal Nagarakertagama - hasil tulisan Prapanca pada tahun 1361 (sami Buddha dan pendita Istana Majapahit) menceritakan Muar sebagai sebahagian jajahan takluk Majapahit oleh Hayam Wuruk dan Perdana Menterinya, Gajah Mada (1350 - 1389). Kisah ini tercatat dalam majalah JMBRAS, October, 1935, Volume XIII Part 2, muka surat 15 - 16.

Barros (1553):
Barros yang menulis dalam tahun 1553 telah mengatakan bahawa Parameswara (Paramicura) yang dihalau lari dari Temasik (Singapura) setelah ia membunuh raja negeri itu, telah lari dan berhenti di Muar dan membina sebuah kota kayu di kawasan pedalaman bernama Pagoh.

Tun Sri Lanang (Sejarah Melayu) versi Shellabear:
Sejarah Melayu pula menyatakan bahawa kerajaan Temasik (Singapura) dalam zaman pemerintahan Sultan Iskandar Syah telah dikalahkan oleh Kerajaan Majapahit. Maka Sultan Iskandar Syah telah lari ke Muar dan membuka dua kawasan di tebing Sungai Muar iaitu Biawak Busuk dan membina sebuah kota yang dinamakan Kota Buruk. Selepas daripada inilah baru Sultan Iskandar Syah berpindah dan membina Melaka. Pada tahun tahun 1488, Sultan Alauddin Riayat Syah 1 telah mangkat di Pagoh , Ulu Muar dan dimakamkan   di situ.

Tome Pires (Suma Oriental):
Parameswara iaitu Raja Palembang ditonjolkan sebagai tokoh yang membuka Melaka. Sumber ini menyingkap sejarah kemunculan Parameswara sebagai raja Palembang menggantikan ayahandanya Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill akibat menggelarkan dirinya sebagai ' Mjeura' ( orang yang berani). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura.

Setelah membunuh wakil Raja Siam di Singapura, beliau menjadi pemerintah palsu tersebut selama 5 tahun. Oleh kerana bimbang diserang oleh Raja Siam, beliau dengan 1,000 orang pengikut melarikan diri ke Muar. Beliau menetap di sana selama 6 tahun iaitu ketika itu orang-orang Seletar mendiami Melaka.

Ortelius (1584)(Peta Lama):
Peta-peta lama seperti Peta Ortelius A.D. 1584 menunjukkan "MUAR" sebagai sebuah bandar terletak ke arah Selatan Melaka.

Linschoten (1595)(Peta Lama):
Peta Linschoten A.D. 1595 pula menunjukkan "MUAR" sebagai sebuah bandar yang berhampiran dengan negeri Melaka.

SEJARAH DAN ASAL USUL MUAR

Image result for PETA MUAR
PENGENALAN 


Muar yang juga dikenali sebagai Bandar Maharani merupakan sebuah bandar yang padat dengan kisah sejarah yang melakarkan perbagai peristiwa yang sewajarnya dapat memberikan kita keinsafan.



"Di sini bermula dan berakhirnya Kesultanan Melayu Melaka"



Muar pernah menjadi saksi permulaan keagungan bangsa, dan Muar juga menjadi saksi kejatuhannya.



Di bumi bertuah ini juga pernah menyaksikan kehebatan wira bangsa dalam mempertahankan maruah bangsa, negara dan agamanya yang tercinta walaupun nyawa menjadi pertaruhannya. Itulah Muar yang tercinta...



Muar sebelum dikenali sebagai Bandar Maharani Muar dikatakan mempunyai beberapa nama lain, dan nama Muar itu sendiri dipercayai berasal dari perbagai sumber seperti:



SEJARAH NAMA MUAR



TELUK DALAM - Hikayat Malim Dewa-dewa Deman:

Muar dahulunya dikenali sebagai Teluk Dalam berdasarkan ayat di dalam Hikayat Malim Dewa-dewa Deman. Teluk Dalam ini mungkin berasal dari keadaan sungai Muar yang berkualakan satu muara atau teluk yang terbuka luas.



MUARA - Bahasa Melayu Sunda:

Nama Muar dikatakan ringkasan bagi MUARA di dalam bahasa Melayu Sunda yang bermaksud "kuala sungai yang membuka atau meneluk luas"


MUAK - Rupabentuk Sungai:

Muar bermaksud satu rupabentuk bagi perkataan "muak" maksudnya jemu berkayuh dalam sungai yang begitu besar dan berbelit-belit.


MUAR atau MUNAR - Bahasa Hindu:

Muar ialah ringkasan daripada Bahasa Hindu "Munu" yang bermaksud Tiga dan "Ar" yang bermaksud "Sungai". Nama Muar berpunca dari nama sebuah negeri besar di Selatan India pada zaman purba yang dinamakan Muar atau Munar ('Negeri Tiga Sungai' kerana negeri ini terdiri daripada tiga batang sungai penting yang bercantum menjadi satu). Apabila orang-orang Hindu purba itu datang ke negeri ini untuk mencari emas, mereka menjumpai tiga batang sungai yang bercantum iaitu Sungai Muar, Sungai Serting dan Sungai Pahang seperti Sungai Muar atau Munar di negeri mereka. Lantas mereka menamakan sungai ini sebagai Muar bersempena nama Muar atau Munar di India.


Muar atau Bandar Maharani telah dicatatkan oleh beberapa penulis dan menjadi bahan sejarah terpenting masa kini.