Friday, September 8, 2017

CATATAN SEJARAH MUAR

Tags

Muar atau Bandar Maharani telah dicatatkan oleh beberapa penulis dan menjadi bahan sejarah terpenting masa kini. Antara catatan yang melakarkan coretan sejarah Muar adalah seperti berikut:

Prapanca (1361)(Syair Nagarakertagama):
Syair terkenal Nagarakertagama - hasil tulisan Prapanca pada tahun 1361 (sami Buddha dan pendita Istana Majapahit) menceritakan Muar sebagai sebahagian jajahan takluk Majapahit oleh Hayam Wuruk dan Perdana Menterinya, Gajah Mada (1350 - 1389). Kisah ini tercatat dalam majalah JMBRAS, October, 1935, Volume XIII Part 2, muka surat 15 - 16.

Barros (1553):
Barros yang menulis dalam tahun 1553 telah mengatakan bahawa Parameswara (Paramicura) yang dihalau lari dari Temasik (Singapura) setelah ia membunuh raja negeri itu, telah lari dan berhenti di Muar dan membina sebuah kota kayu di kawasan pedalaman bernama Pagoh.

Tun Sri Lanang (Sejarah Melayu) versi Shellabear:
Sejarah Melayu pula menyatakan bahawa kerajaan Temasik (Singapura) dalam zaman pemerintahan Sultan Iskandar Syah telah dikalahkan oleh Kerajaan Majapahit. Maka Sultan Iskandar Syah telah lari ke Muar dan membuka dua kawasan di tebing Sungai Muar iaitu Biawak Busuk dan membina sebuah kota yang dinamakan Kota Buruk. Selepas daripada inilah baru Sultan Iskandar Syah berpindah dan membina Melaka. Pada tahun tahun 1488, Sultan Alauddin Riayat Syah 1 telah mangkat di Pagoh , Ulu Muar dan dimakamkan   di situ.

Tome Pires (Suma Oriental):
Parameswara iaitu Raja Palembang ditonjolkan sebagai tokoh yang membuka Melaka. Sumber ini menyingkap sejarah kemunculan Parameswara sebagai raja Palembang menggantikan ayahandanya Raja Sam Agi. Beliau diserang oleh Raja Jawa, Batara Tamavill akibat menggelarkan dirinya sebagai ' Mjeura' ( orang yang berani). Ekoran daripada itu, beliau melarikan diri ke Singapura.

Setelah membunuh wakil Raja Siam di Singapura, beliau menjadi pemerintah palsu tersebut selama 5 tahun. Oleh kerana bimbang diserang oleh Raja Siam, beliau dengan 1,000 orang pengikut melarikan diri ke Muar. Beliau menetap di sana selama 6 tahun iaitu ketika itu orang-orang Seletar mendiami Melaka.

Ortelius (1584)(Peta Lama):
Peta-peta lama seperti Peta Ortelius A.D. 1584 menunjukkan "MUAR" sebagai sebuah bandar terletak ke arah Selatan Melaka.

Linschoten (1595)(Peta Lama):
Peta Linschoten A.D. 1595 pula menunjukkan "MUAR" sebagai sebuah bandar yang berhampiran dengan negeri Melaka.


EmoticonEmoticon